
Follow @AliaaLee Hover Here for Magic.
hey awesome visitor , thanks for viewing this educational blog , hope all the contents in this blog can help you , thanks you.
|
pelayaran yang penuh peristiwa .
Friday, 25 May 2012 Ϟ 16:40 Ϟ 0 Comment[s]
PELAYARAN YANG PENUH PERISTIWA (tingkatan 4*
Kisah bermula apabila Awang Sulung mengikuti pelayaran Tuan Puteri Dayang Seri Jawa dengan menaiki geliung (kapal) menuju dari Negeri Bandar Mengkalih menuju ke Negeri Semarang di Tanah Jawa. Geliung itu bergerak terlalu laju menyebabkan semua anak kapal mabuk-mabuk dan muntah-muntah lalu tidak sedarkan diri kecuali tiga orang iaitu Tuan Puteri Dayang Seri Jawa yang menggantikan jurumudi kapal, Si Kembang Cina, dan Awang Sulung Merah Muda yang menyamar sebagai budak comot dan hitam. Tuan Puteri Dayang Seri Jawa meminta Si Kembang Cina memanggil Awang Sulung menggantikannya sebagai jurumudi dengan memberi alasan bahawa dia sudah keletihan. Pada mulanya Awang Sulung tidak bersetuju tetapi setelah dipujuk dengan lembut akhirnya Awang Sulung mengambil alih tugas sebagai jurumudi. Anehnya, Awang Sulung tidak memegang kemudi sebaliknya menyeru geliung itu supaya belayar mengikut tiupan angin.
Setelah tiga hari belayar, geliung itu hendak berlabuh di Pulau Tapai untuk mengambil kayu api dan air tetapi gagal kerana laut bergelora. Sekali lagi Awang Sulung menggunakan kesaktiannya dengan mencampakkan tulang pelanduk putih menyebabkan air menjadi tenang. Setelah beberapa lama berlabuh barulah penghuni geliung tersedar daripada pengsan. Sebaik sedar, jurumudi menikam seekor ayam dengan kerisnya lalu pergi berjumpa Tuanku Nakhoda Tua dan menyatakan bahawa dialah yang telah menyelamatkan geliung itu daripada serangan Tuan Puteri Dayang Nuramah. Tuanku Nakhoda Tua percaya kata-kata jurumudi kerana sewaktu kejadian baginda juga pengsan. Geliung itu berlabuh selama tiga hari tiga malam di Pulau Tapai. Tuanku Nakhoda Tua telah berjanji akan mengahwinkan sesiapa sahaja yang berjaya membawa geliung itu selamat sampai ke Tanah Jawa dengan puteri baginda iaituTuan Puteri Dayang Seri Jawa.
Jurumudi menunjukkan rasa tidak senangnya terhadap Awang Sulung kepada Tuan Puteri Dayang Seri Jawa sebaliknya dia dimarahi oleh tuan puteri. Tuan Puteri Dayang Seri Jawa cuba menguji kehebatan Awang Sulung dengan menyuruhnya mengambil air dan mencari kayu. Perkara pelik dilakukan oleh Awang Sulung kerana dia mengambil air di tengah laut di tempat arus yang deras. Awang Sulung tidak mengambil kayu bakau dan temu laut seperti yang diminta oleh tuan puteri, sebaliknya mengambil batang nipah. Tuan Puteri Dayang
Seri Jawa memarahi Si Kembang Cina yang mengikut arahan jurumudi kerana memberikan sisa-sisa nasi di dalam tempurung berbulu kepada Awang Sulung sebaliknya Tuan Puteri memerintahkan Si Kembang Cina menyiapkan hidangan istimewa kepada Awang Sulung. Berlaku satu lagi keanehan apabila air masin yang diambil oleh Awang Sulung yang dimasukkan ke dalam buyung suasa bertukar menjadi air manis.
Semasa hendak meneruskan pelayaran, Tuanku Nakhoda Tua memanggil semua anak kapal memaklumkan bahawa mereka akan melalui kawasan Laut Sekona Lingga yang banyak lanun. Tuanku Nakhoda berjanji sesiapa yang dapat menyelamatkan baginda dan puterinya daripada serangan lanun, dia akan dikahwinkan dengan Tuan Puteri Dayang Seri Jawa. Semua anak kapal berasa takut, namun jurumudi telah mengambil kesempatan dengan menonjolkan diri bahawa dia yang akan melawan lanun-lanun itu. Semasa melintasi perairan Pulau Salah Nama, lanun menyerang. Anak-anak kapal termasuk jurumudi lari menyelamatkan diri. Tuan Puteri Dayang Seri Jawa meminta Awang Sulung menentang lanun tetapi Awang Sulung membuat helah mengatakan beliau tidak layak kerana kaki dan tangannya sakit. Apabila mendengar alasan itu, Tuan Puteri Dayang Seri Jawa menyuruh Si Kembang Cina memberikan limau selimpat pagar dan sabun wangi untuk Awang Sulung mandi. Selepas mandi dan memakai persalinan pakaian pusaka tua warisan bonda dan menyisip keris serta menyarung pedang sakti, terserlahlah ketampanan Awang Sulung.
Semasa lanun-lanun cuba menaiki geliung, Awang Sulung melaungkan nama-nama ketua lanun dan menyindir mereka supaya menawan Tuan Puteri Dayang Seri Jawa. Mendengar suara Awang Sulung, lanun-lanun itu ketakutan kerana mereka mengenali Awang Sulung dan berjanji untuk menyelesaikan hutang Awang Sulung kepada Datuk Batin Alam dan Tuan Puteri Dayang Seri Jawa. Geliung itu telah dipenuhi dengan wang batu dan wang emas. Setelah menyelesaikan semua hutang, Awang Sulung berhasrat untuk pulang ke Bandar Mengkalih menyebabkan Tuan Puteri Dayang Seri Jawa sedih dan mengambil tindakan untuk terjun ke laut tetapi sempat dihalang oleh hulubalang yang ada di situ. Tuan puteri pengsan tetapi sedar apabila mendengar Awang Sulung berpantun dengan Si Kembang Cina lalu tuan puteri berbalas pantun pula dengan Awang Sulung. Setelah dijamu makan dan minum serta memenuhkan geliung dengan wang, lanun-lanun itu kembali ke bahtera masing-masing. Selepas lanun-lanun itu pergi, jurumudi membuat helah sekali lagi dengan mengaku dirinyalah yang menyelamatkan geliung itu daripada serangan lanun kepada Tuanku Nakhoda. Dia menunjukkan kerisnya yang berdarah selepas dia menikam seekor ayam. Tuanku Nakhoda Tua percaya penipuan jurumudi dan memerintahkan Mualim Cik Mas menikahkan puterinya dengan jurumudi itu. Tuan Puteri Dayang Seri Jawa begitu geram dengan tindakan ayahandanya yang tidak usul periksa. Apabila mengetahui perkara sebenar Tuanku Nakhoda Tua memohon maaf kepada Awang Sulung yang juga berketurunan raja dan mengahwinkannya dengan tuan puteri.
Beberapa hari selepas mereka berkahwin, geliung meneruskan pelayaran merentasi beberapa pulau sehinggalah sampai ke Negeri Pati Talak Terangganu. Awang Sulung dijemput naik ke darat oleh raja negeri tersebut. Semasa naik ke darat Awang Sulung ditemani oleh jurubatu dan Bujang Selamat. Mereka membawa bersama ayam Awang Sulung yang bernama Kinantan Suci. Kedatangan Awang Sulung ke Negeri Pati Talak menimbulkan kehairanan rakyat negeri tersebut apabila segala alat kebesaran dan seluruh isi alam berbunyi . Awang Sulung meminta kebenaran daripada raja untuk menyabung ayam. Pada peringkat awal pertarungan, Kinantan Suci hampir tewas tetapi setelah diseru oleh Awang Sulung ayam itu berjaya menaji ayam lawan sehingga terputus kepala. Selesai menyabung ayam barulah Awang Sulung naik ke balairung seri, disambut oleh pembesar dan rakyat negeri itu.
Labels: pelayaran yang penuh peristiwa |